Thursday, April 20, 2017

Pencinta Tanpa Syarat


*Afdhal dibaca melalui laptop untuk background music*

Selalunya perasaan untuk menaip dekat blog akan datang tiba-tiba dan selalu tu jugaklah bukan dalam keadaan yang sesuai untuk menaip. Dalam bas, tengah makan, basuh pinggan, study. Adoi kantoilah study tak fokus.

Bukanlah perasaan nak menaip sangat, tapi tengah rasa nak bercerita. Tahukan apa yang kita taip ni sebenarnya macam hati kita yang tengah bercakap. Hmm hm macam mana nak bagitau. Macam update status dekat fb lah, atau tweet di twitter. Kita bukan cakap kuat-kuat, tapi tengah monolog dalaman in a way nak cerita dekat orang huhu boleh make sense tak?

Anyway,

Masa tengah vacuum bilik tadi tiba-tiba teringat strip komik yang terbaca dekat fb semalam. Banyak betul 'ter' yang berlaku dalam kehidupan aku ni haha apa bendalah random sangat.

And basically, kisahnya adalah tentang seorang anak perempuan dan...


[Link untuk baca] Harap link ni valid lagilah walaupun untuk 10 tahun akan datang hiuhiu


*play*

Tak semena-mena teringat abah dekat rumah.

Adoi homesick.

Banyak kali je teringat ibu abah pastu rasa macam "Eh cepatlah nak balik rumah!"

Tapi sebelum balik rumah ada exam pulak. Adoi dua kali.

Setiap kali buat kerja-kerja rumah memang teringat ibu abah dekat rumah. Mungkin masa tu baru sedar, "kalau dekat rumah ibu dengan abah selalu buat macam ni."

Dulu kalau mentol terbakar pun kita rileks je sebab nanti abah terus beli baru. Bila sinki tersumbat, ibu will come to the rescue. Bil-bil rumah semua diuruskan ibu abah. Kalau tertinggal barang pendidikan seni pun nanti abah sanggup patah balik dan ambikkan (ohh nak stop part ni jap, *cari tisu). Boleh kata tak ada apa nak dirisaukan sebab ibu dengan abah ada huhu tu yang bagusnya duduk jauh, baru dapat memaknai betapa banyaknya benda yang ibu abah buat sepanjang besarkan kita.




Setiap kali cuba buat post pasal abah, tiap kali tu aku batalkan niat. Sebab aku tau satu entry tu aku akan spend masa berjam-jam untuk bercerita tentang pengorbanan abah. Bukan taknak buat langsung. Cuma mencari masa yang sesuai supaya takde gangguan dan kacau mood di tengah-tengah penulisan.

But, the urge to write pasal abah is real huu. Sebab bila buat apa-apa je dekat sini mesti teringat abah hahahaha Rasa kisah komik ni realistik pulak sebab berlaku dekat diri sendiri (cuma personaliti ayah tu totally berbeza). Eh, yang tengah baca perenggan ni dah baca komik tu belum?

Contohnya, dekat UK ni untuk setiap sinki/bath tub/di mana-mana yang memerlukan pili, akan ada dua jenis pili. Panas gila, dan sejuk gila. Gila tu perlu ada. Panas tu memang yang boleh bawa melecur, dan sejuk tu boleh bawa kebas walaupun guna 4 saat. Mengharukan lagi rumah kitorang tak ada paip penyambung antara dua pili ni (untuk dapatkan suhu air yang nice je, suam gitu)

Tiap kali nak tadah air dalam baldi, kenalah tadah dua-dua untuk dapatkan air yang suam. Harap semua boleh tangkap konsep mudah fizik ni. Tiap kali nak tadah tu jugak akan teringat abah;

Dari tadika hingga sebelum berpisahnya aku masuk asrama, abah akan bangun awal pagi. Dipastikan dirinya mandi dahulu sebelum kejutkan anak-anak. Seawal pagi itu juga abah masak air di dapur yang alasannya akan aku kisahkan kemudian. 
Yang pertama dikejutkan adalah antara aku atau Shafiqa bergilir-gilir ikut hari (boleh gaduh besar dengan Shafiqa sebab taknaklah kita je bangun first tiap hari huu perangai). Punyalah penyabar abah ni dengan ragam anak-anak dia. Kadang bila tersalah kejut ikut giliran abah minta maaf sebab dah ganggu tidur anaknya. Sedang tak ada apa yang salah pun sob sob. Cara abah kejutkan juga perlahan dan sopan, ditepuknya dua tiga kali di bahagian kaki diseru-seru pula nama anaknya.
Sambil menanti anak itu bangun, abah kembali ke dapur mengambil cerek yang air di dalamnya sudah mencecah takat didih. Dituangnya ke dalam sebuah besen, dicampurkan dengan air sejuk dari kolam agar hasilnya menjadi suam. Aku menjadi saksi tangan abah mengacau-ngacau campuran dua air itu agar suhunya sejahtera buat mandian anak-anak. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk.
Abah kembali ke bilik tidur, kejutkan sekali lagi anaknya sambil berkata, "abah dah buat air panas, bangunlah nanti sejuk". Dan abah lakukan ini bukan untuk Shafiqa seorang, malah untuk aku dan Syahmina juga. Mujur akak dengan abang mandi air kolam seperti biasa. Cuma aku hairan kenapa pada awalnya abah lakukan semua ni walhal tiada siapa pun yang meminta. Atau kerana dari kaca mata seorang ayah kami ni kelihatan terlalu rapuh dan perlu dilayan sebegitu.
Akak dan abang akan jadi antara yang ketiga atau keempat akan bangun. Aku yang dah lengkap dengan seragam sekolah mula tak senang duduk. Jam dah 6.40 tapi giliran yang terakhir baru bangun untuk mandi. Aku seperti biasa terus buat kira-kira-- mandi dah 8 minit, bersiap pakai baju, pastu kalau diorang tak jadual beg lagi boleh jadi 15 minit jugak. Tiba-tiba baju pun tak iron lagi. Masa ni aku dah tersesak-esak, takut sampai lambat ke sekolah. Pukul 7 tak keluar dari rumah bagi aku dah lambat. Sedangkan jarak rumah ke sekolah 5 minit je naik kereta (kalau jalan tak jammed) Mungkin aku ambil kira dengan jalan yang jammed sebab tu dah terbayang-bayang kita akan sampai lambat huhuhu (darjah 3 waktu ni)
Abah masak benar dengan keadaan aku yang selalu cemas bila tengok orang lain lambat bersiap, terus dihantarnya aku ke sekolah dahulu dan akan patah balik ambik yang lain untuk 2nd trip. Masa tu aku menangis bukan sebab yang lain lambat, tapi menangis sebab aku tak berniat pun nak susahkan abah sampai macam ni sekali. Yang buat aku lagi sedih abah sikit pun tak kisah dan marah. Walau terpaksa berulang alik dua kali semata-mata untuk memenangkan kedua-dua belah pihak. Yang nak bersiap lambat, siaplah lambat. Lambat di kaca mata aku.
Kalau aku balik dari mana-mana berjalan kaki dan rupanya abah ada di rumah abah akan tanya,
"Kenapa tak call abah untuk ambik?"
"Mmm sebab dekat je boleh jalan kaki" 
Walaupun ketika abah tengah tidur, aku pernah menjadi saksi abah akan terus bangun dan bersiap-siap untuk ambil anaknya dari sesuatu tempat. Ketepatan masa abah jarang-jarang tersasar. Abah sentiasa tahu anggaran masa yang perlu diambil untuk ke sesuatu tempat. Dari aku kecik hingga besar (sekarang), abah tak pernah buat aku menunggu. Indeed, abah yang selalu menunggu. Walau abah tersampai lebih awal, dia akan tetap menunggu. Tidak pernah jemu, tidak pula bosan untuk berpesan,
"Agak-agak lagi 10 minit nak sampai terus telefon abah. 
Jangan dah sampai baru nak call."
Kerana abah sifatnya mahu menunggu bukan ditunggu



Walaupun golongan bapa yang paling sedikit dalam bicara, tak bermakna sedikit dalam melakukan perkara. Walau abah tak pernah tinggikan suara dan mengarah anak-anak, abah tetap mengajar aku menjadi manusia.
Dari sikap abah, aku belajar untuk sangat hargai dan tepati masa. Walau kadang langgar juga. Sikap cemas bila lambat masih ada hingga kini, selagi tidak memberi kesan kepada urusan aku atau sesiapa aku tak pernah kisah menunggu. Sebab aku pernah melihat kesabaran menunggu yang lebih besar dalam diri abah.
Pernah 3 tahun lepas aku menunggu seorang senior di stesen ktm berjam-jam lamanya dan akhirnya aku dapat panggilan untuk tukar ke stesen lain sebab dia sesat huhu tapi waktu tu tak rasa apa. Pernah juga menunggu junior sambil berdiri (sebab tak ada kerusi) hampir sejam dan sekali lagi aku rasa itu biasa. Kerana selama mana aku menunggu berseorangan dan aku tidak mengejar mana-mana majlis rasmi aku tidak kisah menunggu. Ya, itulah dua syaratnya. 
Benarlah, abah tinggalkan pengaruh yang sangat besar dalam diri anak-anaknya.

Walaupun golongan bapa yang paling sedikit dalam bicara, tapi pasti ada situasi yang dia sendiri membuka kata. Untuk abah, kereta dan jalan adalah "tempat dan kawasan" yang selesa untuk dia lebih terbuka. Tiap kali berdua di dalam kereta,  
banyak dialog-dialog yang boleh diduga;
"Kalau lalu lebuhraya ni nanti akan ke....." 
"dekat sana rumah boss abah, kalau belok kanan jumpa rumah tan sri yadaa yadaa" 

 Juga dialog yang tidak diduga;
"Selagi abah masih ada, abah akan hantar dan ambik anak-anak abah dari sekolah sebab ni tanggungjawab abah."
"Abah bukan taknak marah anak-anak. Tapi kalau tengok anak-anak nangis nanti abah boleh menangis."

Ya, semua ini dialog-dialog di dalam kereta.



Walaupun golongan bapa yang paling sedikit dalam bicara, dalam diam hatinya lembut juga.
Akhir sem aku di KMB seperti biasa antara abah atau abang yang akan pandukan aku. Ibu tetap ada di sisi kiri pemandu. Aku cium tangan abah dan peluk sebelum berpisah-- sekali lagi aku dengar dialog yang tidak diduga;
"Abah sayang anak-anak abah..."
Perlahan tapi jelas. Jelas dan cukup untuk pendengaran aku seorang. Sebak-sebak pun aku balas juga;
"Kakcik pun sayangkan abah..." 

20 tahun hidup bersama abah, ini adalah pertama kali dan aku tak pernah menunggu dan berharap untuk abah kata begini. Tak pernah terdetik untuk menuntut kata sayang dari abah. Mungkin aku boleh melihat bicara 'sayang' abah ada pada perlakuannya. 
Adoi sebaknya cerita part ni. Sebab terbayang muka abah waktu cakap macam tu. Mungkin dia risau yang anak-anak tak nampak betapa besarnya kasih sayang dia pada kita.   
Anak abah ni nampak semuanya. Sekadar imbas pengorbanan abah pun dah boleh buat diri ni sebak sorang-sorang dekat sini. Anak abah ni faham abah sanggup buat apa je supaya tiada yang ketinggalan dalam pelajaran. Kalau ada barang sekolah yang terlupa bawak, abah sanggup hantar balik tunggu dan hulur dari luar pagar. 
Dan abah manjakan kitorang sebab abah selalu rasa apa yang abah bagi tak cukup. Tapi abah, cukup tu bukanlah pada saiz rumah, bukan pada bilangan baju, bukan juga pada berapa kali kita keluar berjalan. Mungkin sebab tak dibesarkan dengan semua tu, abah berjaya buat kitorang rasa semua tu tak penting pun. Sebab abah tak pernah tanamkan kecintaan kepada benda-benda tu. 
Abah manjakan kitorang dengan pengorbanan dan bukanlah harta. Dan tiada apa yang tersilap pada pilihan abah tu. 
Dan aku tentu-tentunya sentiasa merasa cukup dan bersyukur 20 tahun melalui kehidupan begitu.

 Shafiqa hantar gambar ni. Makin homesick bila tengok abah makin tua dari jauh T^T


Ini baru kisah nak tadah air teringat abah. Belum lagi tiap kali nak basuh baju, makan buah, bukak buku -- boleh kata mesti ada kisah yang buat kita teringat dekat abah. Baru 1/10 dari kisah abah yang nak disampaikan dah panjang macam ni. Kena stop lah, nak beli tisu dulu. Selesema teruk seminggu ni.

Semua gambar komik kredit kepada Tangan Kanan

Baru teringat sebelum ni banyak buat entri pasal abah jugak:
Gigihnya seorang bapa
Selamat Hari Abah



Gambar throwback satu :)

No comments: