Friday, September 18, 2020

Sepintas Lalu Kecil Dahulu

Keluar kerja seawal pagi, balik pun dah malam. Dalam seminggu akan ada satu hari yang abah keluar sebelum 6.30 pagi. Selalunya hari Rabu lah kena jalan kaki pergi sekolah sendiri.

Alhamdulillah, masih tetap merasai sentuhan dan kehadiran seorang "Abah" dan tak mengalami sindrome father-hunger.

Kadang bila duduk sorang selalu terfikir apa yang abah selalu buat kecil dulu hinggakan dengan masa yang terhad tetap terasa kasihnya abah.

Kerana yang abah ada hanyalah malam, malam itu tidak dirugikan buat masa sendiri. Tapi dipenuhkan dengan urusan bersama anak.

Walau abah balik malam, selalunya abah pulang dengan bekalan-bekalan roti di tangan. Twiggies, satu jenama menjadi lambang kemewahan dalam rumah dulu. Tapi jaranglah dapat Twiggies tu. Selalunya roti coklet atau jagung Gardenia atau roti-roti jualan babu. Bahagia itu ada walau hanya pada roti 50sen satu.

Walau pulang malam, abah tetap bawa ke taman mainan. Nasiblah tak faham lagi konsep mistik dan paranormal waktu tu. Ingatkan normal orang pergi main dekat taman malam-malam. Patutlah seronok je tak payah berebut sebab tak ada orang lain dekat taman. Itulah abah, walau tidak banyak masa, sentuhannya tetap kami rasa.

Ada buku sekolah perlu dibalut? Abah pulang bersama plastik putih bermeter lebarnya. Dipotong-potong mengikut saiz buku, dikepilkan di setiap penjuru. Abah buatkan dan balutkan semua. Abah jarang berpesan tapi banyak berkata pada perlakuan — "tunjukkan syukurmu, jagalah elok-elok buku pinjaman."

Ada barang sekolah tertinggal? Belum habis perhimpunan aku dah nampak abah lambai-lambai belakang pagar dewan. Benar, abah patah balik semata nak bagi buku sekolah, alat tulis, baju persalinan atau watercolour yang mungkin aku terlupa.

Ada hari abah pulang bersama kotak-kotak di tangan. Kotak kosong dari pejabat yang dah tak digunakan. Abah DIY dari kotak biasa hingga menjadilah sebuah file. Supaya buku sekolah kami elok tersimpan. Walau coraknya kosong, tidaklah berbunga seperti di kedai tapi apa yang abah hasilkan tentulah bagi kami lebih bernilai.

Kebanyakan malam abah turut serta bantu aku siapkan soalan-soalan latihan. Masih jelas 16 tahun lepas menangis nak siapkan arahan cikgu maths yang suruh terjemah perkataan english ke malay. Tak, sekarang ni kenapa kelas Maths kena buat latihan bahasa???

Tulah malam paling epik sebab satu rumah cuba solve soalan aku "apa 'the' dalam bahasa melayu?" T_T Penat semua explain "the" tak ada maksud, tapi aku tetap tak boleh terima. Takut kena marah dengan cikgu. Kesianlah diorang dapat adik sikit punya bendul macam tu. Ok kisah ni lari topik sikit. Tapi usaha semorang dalam membantu amatlah saya hargai hingga kini.

Hujung minggu? Kadang abah basuhkan kasut sekolah, dah kering abah ajar kapurkan. Ada ketika main catur bersama. Abah ajar cara bermain, strategi dan cara fikir. Punyalah seronok tengok akak dengan abang main sampai wakil negeri. Kita wakil sekolah pun ok dah hahaha.

Inilah kisah sepintas lalu kecil dulu. Fasa crucial seorang anak melihat dan merasai kehadiran figura seorang abah. Kemudian, bolehlah ibu abah tarik nafas lega melepaskan anak kemana-mana. Sebab pergilah jauh mana tak rasa teringin dan keperluan untuk bercinta haha.

Dah masuk asrama dan belajar jauh lain pulak pengorbanan abah ni. Misalnya, abah tak pernah miss basuh dan cuci bilik anak-anak tiap kali bukak sem baru. UiTM, INTEC, KMB, ICYM — habis habuk di tingkap bilik, almari dan lantai dicucinya :')

Pernah abah basuh dan cucikan bilik abang dekat UiTM dulu lepas tu abang kena buli tukar bilik lain pulak kakaka sabar je lah. Lemah betul abang aku ni ey geram.

Love language Act of Service abah ni kuat sangat tau. Banyak kali halang sampai boleh gaduh menangis lah sebab taknak bagi abah buat. Daripada jadi derhaka bergaduh nak halang abah, baiklah aku kemas sekali :') tak pepasal terpaksa jadi rajin jugak.

Nasib baik pergi UK abah hantar sampai KLIA je. Kalau abah jejak sampai ke UK tu mesti dia nak cuci satu rumah jugak hahaha.

Bila duduk sorang tu memang banyak sangatlah boleh terbukak cerita tentang abah ni. Sesekali bukak kisah lama memang bahaya. Boleh bawa penat. Tapi itulah, penat jari yang menaip, penat lagi bahu yang membawa watak "abah" tu sendiri. Ajaibnya, tak pernah sekali abah merungut depan anak-anak, melepas lelah, berkata "abah penat".

Selamat hari lahir abah!

Dari anak yang sentiasa memerhati walau sekecil dan sehalus bakti.

Macam biasa kena upload satu gambar yang Syahmina tak lahir lagi kakaka

*******

Nota kaki: Sebab terbaca these two posts terus terbayang-bayang apa abah selalu buat dulu.

1. Father-hunger syndrome

2. Penglibatan bapa dalam perkembangan anak-anak

Sifir abah mudah, menggunakan masa-masa yang ada dalam apa jua perkara — abah bukan sekadar buat semuanya untuk anak tetapi juga bersama anak.