Showing posts with label Akhawatifillah. Show all posts
Showing posts with label Akhawatifillah. Show all posts

Sunday, May 22, 2022

Kain Putih

Hampir 2 tahun pandemik rasanya boleh kira dengan jari berapa kali je turun daurah/program secara darat. Rindu betul ruh dan suasana tarbiah program-program yang tak dapat dirasai hanya secara maya. Hiruk-pikuk suara anak-anak dekat belakang, waktu tidur malam yang berselang-seli dengan tangisan bayi. Hah begitulah sedikit sebanyak gambaran di kawasan akhawat. Sentiasa timbul rasa kasihan pada akhawat yang berjaga malam sebab nak tidurkan anak.

Major respect kepada para ummahat yang tetap bersama tarbiah walau anak dah bertambah. Dari tiada kepada ada. Dari seorang kepada dua orang. Menjadi AJK dan ibu dalam satu masa. Waktu rehat program terkejar-kejar mahu uruskan anak pula. Antara pemandangan yang tak akan aku lupakan sepanjang berdaurah di UK.

Ada satu masa di masjid Birmingham, aku datang dan duduk tepi seorang kakak yang tengah uruskan anak dia yang baru lepas mandi. Masih kecil dalam linkungan 2-3 tahun rasanya.


"Kita ni kena sangatlah clear kenapa nak ada anak."

Kata kakak tu, sambil-sambil menyapu bedak dan pakaikan lampin pada anaknya.

"Penat jaga anak ni. Kalau tak faham kenapa nak ada anak sia-sia penat kita."


Aku yang masih dalam 2nd year degree waktu tu ditambah bayang calon suami pun masih tiada, masih tetap setia mahu mendengar. Makin kuat rasa ingin tahu kefahaman yang kakak ni pegang, kefahaman yang membuatkan dia mahu menjadi seorang ibu. Walaupun penat dan payah.


"Kalau kita orang yang mencintai tarbiah, kita mesti nak ada anak sendiri. Anak ni ibarat kain putih dan ibu-bapalah yang akan mencorakkan anak tu."

Dia sambung lagi,

"Kerja kita selama ni mentarbiah orang-orang yang dah dicorakkan oleh ibu bapa mereka sendiri. Jadi, sedikit berbeza pendekatan yang kita akan ambil.

Setiap dari mad'u kita itu unik sebab latar belakang mereka pelbagai. Tapi dengan anak kita ni... 

lahir-lahir dah bersama kita."

 

Aku mula dapat tangkap apa yang kakak ni mahu sampaikan. Maka, bertambahlah lagi satu kriteria yang aku akan cari bila mencari calon suami nanti.


Jadi masa taaruf hari tu belum sempat untuk aku bertanya pendapat berkaitan soal anak, dia (kini zauj) dahulu tanpa sedar mengutarakan 'point' yang aku cari pada seorang suami dan peranan yang harus dimainkan oleh seorang ayah — 


"Ana tengok ada dalam circle ana yang mencari jodoh tanpa memikirkan consequences kepada anak-anak nanti. Sebab yang akan mencorakkan anak-anak adalah ibu bapa tu nanti. 
Jadi ana bukanlah hanya mencari seorang isteri, tetapi isteri yang ada kefahaman sama, yang akan menjadi ibu kepada anak-anak nanti. Supaya fikrah Islam tu dapat diwariskan kepada anak-anak." - Him (April, 2020)

 

Indeed, tanggungjawab seorang ibu-bapa kepada anak-anak yang paling terawal adalah mencari ibu/ayah yang baik buat mereka.

From that time, I know he's the one.

Moga Allah kurniakan kita hidayah dan sentiasa bersama kita dalam mencorakkan anak-anak hingga tercelupnya mereka dengan sibghatullah.


Monday, August 24, 2020

Wadai


Glossop Rd, Sheffield.
011218

"Kita nak buat apa ni kak?"

"Dessert orang Banjar."

"Eh akak orang Banjar? Saya dah agak dah akak ni takde darah melayu!"

"Ehh banjar tu muka melayu je eh. Tak ada tempias-tempias eropah ke, timur tengah ke apa. Timor-leste tu mungkin ya lah haha muka melayu sangat"

*lap peluh*



Ya, selalu rasa muka ni pure melayu. Takde campuran kacukan ke apa haha selama kat UK pun rasa bangga je dengan wajah (pure) melayu ni 😌 kadang melangkah dengan terlebih konfiden pun ya juga. #ProudAsian

*******

p/s: rindunya adik-adik usrah saya ni :') Apa khabarlah masing-masing agaknya.

Thursday, May 07, 2020

Merancang Mati

Seram pulak buat tajuk macam tu. Jarang letak tajuk sebelum tulis entri. First time ni letak tajuk lepas tu baru nak menaip (haa kantoilah selama ni tulis random je pastu baru fikir tajuk).

Terfikir pasal mati bila tengah layan Jejak Rasul petang tadi. Jejak Rasul tahun ni diorang filming sekitar Jordan dengan Turki huhu rindunya dua-dua tempat ni U_U Tempat yang buat kita jatuh cinta dengan makanan sedap yang bernama khunafa. First time makan khunafa akhawat Turki belanja. Dia punya sedap tu rasa taknak share dengan orang lain haha lepas tu excited bila dapat tahu Jordan pun ada khunafa!

Okayy bukanlah semata khunafa tapi Jordan memang sangat best! Tak sia-sia ok labur duit terima pujukan Shazrina untuk pergi Jordan.

"Awak jomlahh, tiket murah ni. Kita belum pernah jaulah sekali kan." 
"Hellooo, Spain tu apa?"  *sent a photo*
"Ehh. Ok kalau awak join jaulah Jordan ni saya janji tak akan lupa sampai bila-bila."

Tengok dia ni, tak pernah mengalah dalam memujuk. Sebab doploh orang kan join jaulah Spain tu so nasiblah nama kita tak register dalam memori dia :') Dia tunjuk satu group photo dekat Spain dulu yang tak ada kita dalam tu. Dah namanya aku yang tangkap gambar tu, macam mana nak masuk dalam gambar hahahaha geramnya. Lepas ni nak pass camera dekat orang lain pulaklah 😂

Ok berbalik kepada keasyikan melayan Jejak Rasul hari ni. Tengah seronok tengok kawasan sekitar Jordan dalam JR tu tetibe dialog this one ukht berlegar-legar dalam kepala. Dialog yang dia cakap secara random masa tengah ziarah makam sahabat dekat Jordan. Dialog tu harus ditaip ya dekat sini. Selagi tak dikeluarkan tu rasa semacam je ayat tu terperangkap dalam fikiran. Risau tertaip dalam thesis fyp pulak nanti.

Macam ni lah lebih kurang dia kata;

"Hebat kan sahabat ni. Sebarkan Islam luar Mekah Madinah sampaikan syahid pun bukan dekat tempat asal diorang. 
Hebatlah! 
Kalau tak rasa hebat lagi, kita ni pernah terbayang dan terfikir tak nak mati luar Malaysia?"
T_T  *Gulp*

Masa dengar dialog tu rasa betul jugak sebab tak pernah terfikir pun possibility mati dekat tempat bukan asal kita. Sekarang ni dengan kes COVID dekat UK yang sehari capai 700-800 death, makin terkesan pulak dengan dialog dia tu. Sedangkan nak sakit pun kalau boleh mintak jauhlah kena dekat UK ni. Apatah lagi nak mati dekat sini yang jauh dari keluarga….

Makin kagum dengan para assabikun T_T Mungkin dari awal bila keluar dari Mekah-Madinah lagi diorang dah ada mindset yang mungkin takkan sempat pun untuk balik tempat asal masing-masing. Maka all out je lah dekat mana pun kita berada. Sebab tak tahu kita mati bila dan di mana.

Makam Muadz bin Jabal :'''')

Dekat mana kita berada, marilah merancang amal. Sebab kita kan mati sebagaimana kita hidup. Dengan merancang amal, kita sedang merancang kematian kita juga. Teringat satu hadis as motivation tentang merancang kematian ni;

"Orang yang paling banyak dalam mengingati mati dan paling siap menghadapinya, merekalah orang yang paling cerdas. Mereka pergi dengan membawa kemuliaan di dunia dan kehormatan di akhirat" (HR. at-Tirmizi)

First time came across hadis dekat atas bila ada sorang ukht share masa KMB dulu-dulu. Tengah jalan dengan dia nak pergi ruang solat wanita kat Masjid Putra tiba-tiba dia ajak beli kain kapan lepas tu dia bacakan hadis ni — "Saya nak jadi orang yang bijak macam Rasulullah katakan tu"

Seumur hidup, itulah pertama kali orang ajak beli kain kapan :')


Menarik betul duduk dengan akhawat ni. Selalu dapat reminder pasal kematian. Bila birthday pun dapat reminder yang mati dah nak dekat. Pergi Jordan dalam seronok-seoronok pun diingatkan pasal mati. Nikmat sebenarnya diingatkan selalu pasal mati. Supaya sentiasa sedar diri; hidup ni perlu dirancang dengan amal-amal yang menguntungkan dekat 'sana' nanti.

Jadi, untuk bulan Ramadhan tahun ni apa amalan tambahan kita yang luar dari kebiasaan bulan-bulan biasa. Kalau belum ada masih tak terlambat untuk merancang ^^ Bulan bonus ni! Jomlah grab semua peluang yang ada dan isi masa-masa kita walaupun sesimple menonton Jejak Rasul untuk dapatkan ibrah.


Thursday, March 05, 2020

Bukan Sekadar

 X: Apa perasaan akak masa saya bagitau nak keluar usrah dulu? 
Me: Ehhh awak pernah msg akak macam tuuu?

Bila ditanya soalan ni, terus teringat mesej dia 5 bulan lepas. Kalau dia tak ungkit kisah ni memang tak ingat dah dia pernah request untuk keluar usrah haha sebab sekarang punyalah semangat dia jumpa adik-adik junior ajak pergi usrah. Kita tak sempat ambik nafas lepas habis 1 liqa', dia dah ajak bincang topik untuk next liqa'. Kalau awal dulu kita yang contact 1st year, sekarang dia sendiri dah independently ws adik-adik 1st year dia. Sejuk hati mak nak balik mesia haha

Tahun lepas bila dapat msg yang dia nak stop dari usrah, terkejutlah jugak tapi acah tenang.

Me: Kalau tak kisah boleh ke nak tahu kenapa?

Bila ada adik nak keluar usrah, kita bukanlah sesiapa untuk memaksa (apatah lagi sebab bukan kita kakak naqibah dia huu). Tapi, perlulah tahu sebab-sebabnya untuk raikan sisi manusiawi tu. Dalam 2 jam menunggu barulah dapat reply dari dia --

X: Eh taklah akak, lupakan apa saya cakap and saya join usrah inshaaAllah.


Bila kita hanya merasai usrah sebagai majlis ilmu semata, maka mudahlah untuk kita memilih meninggalkannya. Sebab kan banyak ilmu dekat luar sana boleh kita kutip semudahnya. Bukak youtube dan dengar ceramah ustaz Nouman atau ustazah Yasmin. Nak lagi basah dengar ceramah ustaz negara seberang, Ustaz Hanan Attaki atau Salim A. Fillah huhu.

Tapi, kalau kita melihat dan merasai usrah sebagai satu agenda pengislahan umat, melahirkan lebih ramai manusia bersedia ke medan. Maka, akan lebih seriuslah kita dalam sekolah tarbiyah ni. Mana mungkin bila dikatakan 'sekolah' itu hanya sekadar duduk-duduk di dalam kelas sahaja. Tentunya akan ada acara sukan atau kem tahunan, ada seminar-seminar sebagai pengukuhan.

******
280220,
"Baru saya faham apa kakak tu buat (df) dekat saya dulu. Masa tu saya ingat usrah tu sekadar usrah. Baru faham wasilah lain tu pun penting untuk capai 'KPI' individu muslim tu."
"Akak doakan saya dapat kerja sini eh. Saya ingat nak cari kerja sekitar ni je sebab nak 'jaga' tempat ni."

Banyaknya hadiah yang Allah bagi tahun ni (':

اللهم يامقلب القلوب ثبت قلوبنا على دينك

Wednesday, February 19, 2020

Yakinlah dalam doa-doamu.



Buat akhawatifillah yang berusaha menjadi kuat -- 
Untuk memastikan dakwah ini terus berjalan dan dibuat,
Kadang risau diluah pada manusia,
"Aku penat."

Buat akhawatifillah yang sedang bermujahadah -- 
Dalam belajar,
dalam beramal,
dalam menunaikan pelbagai hak.

Berkata-katalah sentiasa dengan Tuhan dalam doa-doa kita.
Dengan bicara lembut penuh kehambaan.
Yakinlah,
Tuhan sedang mendengar setiap pengakuan.

Berbicara lembutlah dengan Tuhan dalam doa-doa kita.
Walau bisikannya perlahan.
Yakinlah,
Tuhan tidak pernah terlepas merakamkan.

Berbisik perlahanlah dengan Tuhan dalam doa-doa kita.
kadang mungkin langsung tak kedengaran.
Yakinlah,
Tuhan tentu tetap ketahuan.

Yakinlah dalam doa-doa kita,
kerna Allah pernah berfirman,
"Aku sesuai dengan keyakinan hambaKu kepadaKu." (H.R Ahmad)


ESLC building, 180220

Doa itu,
menguatkan ketika dalam kelemahan,
menghubungkan ketika jarak memisahkan,
meningkatkan keyakinan untuk terus bertahan.

"Sesungguhnya Allah itu Maha Malu dan Maha Pemurah. Allah malu jika ada seseorang yang menengadahkan kedua tangan kepadaNya tapi kemudian menolaknya dengan tangan hampa." (H.R. Abu Daud, At-Tirmizi, Ibnu Majah)

Tuhan tidak pernah bosan dalam mendengar,
Malah menanti-nanti rintihan sang hamba yang lemah. 

*****

"Rezeki sangat hari ni. Dapat musafir hari Jumaat macam ni, lepas tu hujan sepanjang malam. Pakej kombo waktu afdhal berdoa hehe :p"

-- Disaat manusia mengaitkan winter dengan depression, marilah kita meraikan winter dengan penuh kesyukuran kerana banyaknya turun hujan. Eheh.

P/s: Buat akhawat yang mencari tempat untuk meluah, I just a phone call away (;



Saturday, December 28, 2019

Masih Hauskah Kita?

Tadi msg sorang adik ni saja tanya khabar dan tarikh exam. Baru tanya soalan satu line tapi reply yang dapat dari dia:

"ada mabit (read:qiam) ke?"

Pelik jugak kenapa 'teka' macam tu sebab tak cakap apa-apa lagi (tapi apparently memang nak ajak mabit pun haha)

"sebab saya dah tunggu lama" - her

/nanges jap/ T_____T


Sangat pure jiwa dia ni yang mencari-cari kebaikan. Dari awal kenal adik ni dia memang sejenis yang akan grab segala peluang yang datang. Even mabit tu dekat luar kawasan sendiri pun dia masih nak datang. Kalau tak dapat datang mesti ada sebab yang tak boleh elak.

Muhasabah sangat bila dah makin lama dalam tarbiyah, sejauh mana keinginan kita dalam menghadiri wasilah? Adakah sesegar saat kita mula jatuh cinta dengan jalan ni?

Juga, sejauh mana kekuatan kita menolak tepi segala hal dalam menyusun wasilah sebagai prioriti? Masih lagikah kita orang yang menunggu dengan rasa teruja? Atau golongan yang bertepuk gembira bila wasilah ditunda?

*****

Sebab tu juga suka surround diri adik-adik yang bersemangat ni. Mereka sangatlah mengingatkan yang suatu ketika dahulu kita juga begitu. Yang sangat haus untuk meneguk nilai-nilai tarbiyah. Takut sangat bila kita ingatkan kita dah cukup dan tak dahaga. Tapi hakikat dan realiti adalah sebaliknya. Tahu-tahu kita mati di tengah perjalanan sebab kehabisan bekalan. Ya, daie itu memang sentiasa memerlukan tarbiah sebagai bekalan.

Tapi muhasabah yang paling menampar diri, lama sangat dah ke aku tak buat mabit ni sampai adik ni ternanti-nanti T___T takutnya bila ada hak akhawat yang kita tak tunaikan.

Brb. Nanges sekali lagi.

Thursday, December 26, 2019

My Precious

"Akak, saya dah cuba lepas tu…"

"Lepas tu?"

"Lepas tu conversation tu terhenti dekat situ hehe"

Knowing that you're trying makes my heart bloom dear (:


This year's winter gathering was very dear to me. Walaupun awal-awal ada niat tak nak pergi, sebab nak kasi chance dekat orang lain jadi AJK pulak :p tapi Alhamdulillah 'ala kulli hal there were plot twists here and there dan Allah rezekikan lagi peluang beramal.

Perasaan sepanjang program sangatlah berbeza dengan yang sebelumnya. Previous years banyak bekerja dengan akhawat satu batch dan bila ramai yang dah BFG, most of the juniors are taking the role untuk menggerakkan program tarbiah tahun ni. 

To have the chance melihat adik-adik yang kita kenal dari mereka di fasa awal tarbiyah dan sudah mula bergerak dengan penuh semangat sangatlah membuatkan hati ni berbunga-bunga. They are the proof how precious DnT is. Some of them accepted my offer to be faci although they're scared yet, still wanna give it a try was Subhanallah such a milestone in their tarbiyah journey :')

Surrounding myself with my 'adik-adik' will always remind me of my early tarbiyah phase (: Benar, kita semua pernah bermula dari sesuatu yang "tidak reti" tapi tarbiyah banyak memberi peluang untuk kita terus belajar.

Kerana itulah sifatnya tarbiyah, yang seharusnya mengubah.



May Allah keep on choosing us to be the 'amilin and make our heart steadfast on His deen.

Taqabbalallahuminna wa minkum.




Friday, November 08, 2019

Harga Sekeping Tiket

Waktu macam ni selalunya student kat UK dah ada winter plan masing-masing. Ada yang dah beli tiket pun. "Travel mana winter ni?" — menjadi antara dialog carta tertinggi. Kalau sejenis yang tak tau nak initiate conversation dengan junior, bolehlah mulakan dengan dialog ni muahaha #tipssembang.

"Dulu akak travel dengan siapa?"

Dalam jugak nafas yang guwa ambil nak menjawab soalan ni. 2-3 saat tahan sebelum nak hembus balik.

"Masa 1st year kita travel 19 orang, 2nd year travel 10 orang…."

Bukan adik tu je terkejut. Aku pun tumpang terkejut walaupun soalan ni dah dijawab banyak kali. Macam mana tah datang kekuatan untuk agree jalan satu rombongan sebesar tu. Bila fikir balik, macam tour agent jugak kitorang ni. Boleh dah apply job dengan ARBA.

Tapi mashaaAllah travel seploh doploh orang tu smooth sangat. Tak ada konflik, semua orang subhanallah baik sangat. Tinggi toleransi dan sifat sabar :') Sampai sekarang amazed.

Tapi mujahadah dan tarbiyah yang dilalui tu hanya Allah je yang tahu.

"Cerita korang beli tiket nak masuk Alhambra tu akak cerita masa session dengan junior dekat Ireland baru-baru ni." - Ukht S

Masa dengar tu terus tergelak sebab tu antara kenangan yang paling tak boleh dijual beli. Kisah ni pernah dihantar dalam satu travelogue contest (: Waktu tu tak tau langsung format travelog ni macam mana. Bahasa pun rojak-rojak je lah ikut sedap wahahaha


******
Harga Sekeping Tiket

Spain, 2016.

“Saya berdoa sangat supaya Allah tarbiyah saya sepanjang perjalanan ni."


Memandangkan jaulah 6 hari ke Spain membawa seramai 19 orang ahli, molek benar untuk lantik mas'ulah bagi setiap lawatan. Masa tu volunteer lah untuk jadi mas'ulah dekat Granada dengan this one ukht.

Skop tugasan asas – susun perjalanan seharian, mencari tempat solat, dan membeli tiket masuk untuk tempat yang berbayar.

Sebulan sebelum ke Spain, kitorang dah mula check ticket nak masuk Alhambra. Tapi ditakdirkan gagal jugak untuk dapatkan tiket secara online. Semua package sold out! Pilihan yang tinggal adalah beli tiket di tempat Ticket Office tu pada hari kejadian. 

Risikonya, tiket tak dapat dibeli dalam jumlah yang banyak. Maksimum sorang boleh beli 10 keping tiket je. Yang lebih mengerikan, tiada jaminan pun tiket akan sentiasa ada. First come, first served basis. Ngeri bila dengar-dengar tiket al-Hambra macam pisang goreng panas. 

Nota: buat yang ingin ke Al-hambra (Granada) lagi-lagi pada minggu cuti Christmas, eloklah beli tiket secara online dua bulan lebih awal.


******
29 Disember 2016

“Kalau awak tak ditarbiyah, awak akan offer ke diri sendiri untuk pagi ni?”



Ticket office bukak pukul 8 pagi tapi sebab tiket al-Hambra laku keras, dah sedia maklum wajib gerak ke sana pagi-pagi buta. Jadi, 3 orang akan pergi dulu untuk beratur beli tiket. Yang lagi 16 orang akan bertolak 9 pagi dengan minibus yang disewa sepanjang jaulah.

Sebagai PIC (Person in charge) untuk beli tiket masuk al-Hambra, rasa bertanggungjawab sangat untuk pastikan semua orang dapat masuk ke sana. Jadi bersama dua lagi akhawat, kitorang naik teksi dan redah kesejukan seawal 6 pagi, dan sebenarnya salah seorang dari mereka tak perlu pun terbabit sama.

Entah daya tolakan apa yang membuatkan dia untuk kehadapan menemani kami berdua. Jujur, suhu pagi di Spain bukanlah sesuatu yang boleh dibawa berbincang. Sejuknya hingga menyengat jari-jari kaki.

******
Al-Hambra, 0620hrs

“Sedar tak, tarbiyah perlahan-lahan menjadikan kita orang yang selfless?”


Turun je dari teksi terus ternampak barisan yang sangat panjang untuk beli tiket. Siap ada pusingan lagi. Terkejut jugak, ingatkan sebelum 6.30am tu dah awal, rupanya tak cukup awal lagi. Entah yang beratur depan sekali tu pukul berapalah dia sampai. Qawiy betul diorang ni.

Sebelum ke Spain, kitorang underestimate dengan suhu sana. Baju yang tebal-tebal ditinggalkan terus. Mujur ada sarung tangan yang mungkin terselit di celah-celah beg. Tapi antara kitorang bertiga, ada yang sempat pinjam jacket tebal dari jaulahmates yang lain.

Memandangkan Ticket office buka pukul 8 pagi, mustahil sangat untuk barisan tu bergerak. Kitorang pilih untuk duduk dulu di tempat beratur tu rapat-rapat. Kejap duduk, kejap bangun untuk kurangkan kesejukan.

Menggigil, menggeletar, berpegang-pegang tangan dah waktu tu. Sarung tangan saling bertukar tuan sebab hanya seorang yang bawa gloves antara kami 3 orang. Sorang lagi mula hamparkan baju sejuk yang dipakainya di tengah-tengah antara kami bertiga. Cukup untuk menutup sebahagian kaki, memberi sedikit keselesaaan.

Walau sebenarnya dia boleh gunakan baju tu berseorangan untuk memanaskan diri sendiri. Sekali lagi, entah apa yang membuatnya melakukan itu. Waktu-waktu begini ithar antara kami terasa benar diuji.

Tiba-tiba this one ukht keluarkan al-Qurannya:

"Pernah baca terjemahan surah ar-Rum tak?' - tanya dia.
"Saya pun baru je baca tadi, saya bacakan terjemahannya ya."

Lalu dibacakan tiap baris surah itu. Dikaitkan dengan kisah umat terdahulu, leka sekejap dari kesejukan melampau. 2 darjah celcius yang sebenarnya tidaklah sejuk mana, tetapi menjadi yang teramat sebab perlu menahan lebih dari satu jam di situ. Kemudian terkesan dengan satu ayat yang dibaca,


“Dan tidakkah mereka berjalan di bumi, serta memerhatikan bagaimana kesudahan orang sebelum mereka (yang mendustakan rasul)? Orang yang lebih kuat daripada mereka dan mereka telah meneroka bumi serta memakmurkannya melebihi apa yang telah mereka makmurkan. 
Dan telah datang kepada mereka rasul-rasul mereka dengan membawa bukti yang jelas. Maka Allah sama sekali tidak berlaku zalim kepada mereka, tetapi merekalah yang berlaku zalim kepada diri mereka sendiri.” (Al-Rum:9)

Ditadabbur ayat ini lebih lama berbanding ayat-ayat yang lain. Benarlah sejarah itu ada sunnatullahnya. Kisah umat terdahulu juga releven dengan kisah ketika zaman umayyah. Rugilah kami jika hanya berjalan dengan kaki, tetapi tidak bersama membawa hati.

"Muslim zaman umayyah dulu pun kan kuat fizikalnya seperti yang Belal (tourist guide kami) ceritakan semalam. Dan mereka juga telah memakmurkan bumi lebih dari kita sekarang. 
Kita pun kena lah clear kenapa pun sanggup datang pagi-pagi sejuk ni untuk beli tiket. Rugi sangat kalau datang al-Hambra dan pulang tanpa membawa apa-apa pengajarannya."
– tadabbur pagi itu kami tutup dengan muhasabah diri kembali.

Lepas solat Subuh (6.53am), kami pilih untuk terus berdiri dalam keadaan rapat-rapat. Mathurat dibacakan dengan suara yang cukup buat pendengaran kami bertiga. Sayu benar waktu ni.

Dengan sejuknya, tiba-tiba terasa dipeluk dari kanan,

"Awak mesti sejuk kan"

Terus disandarkan kepala di bahunya. Nak menangis dengan nikmat ukhuwah yang Allah anugerahkan. Nak menangis jugak sebab menahan sejuk yang tak dapat digambarkan. Terlalu sejuk hingga baca mathurat pun berpelukan. 

“Bagaimanalah keadaan perang Khandaq dulu, jika kita hanya duduk diam dalam keadaan sejuk begini pun hampir-hampir je untuk lari pulang ke hotel. Tak hairanlah perang itu sama dipanggil sebagai Perang Saraf.”

Rasa sayu juga bila doa-doa mathur yang kita mohon pada Allah ini dibaca dengan penuh pengharapan. Dibaca pula di satu kawasan yang dahulu megah berdirinya Islam dengan sejarah dan tamadunnya. Ironi sungguh bila kami yang bertudung dipandang hairan. Lebih lagi bila al-Quran dan doa-doa bukan lagi dilihat sebagai kebiasaan;

"Mesti orang yang beratur dekat sini ingat kita baca mantera ke apa, siap peluk-peluk lagi 😂"

0800hrs, suasana ketika beratur.

Kaunter tiket memang dibuka tepat pada masanya. Sedikit-sedikit pelanggan dilepaskan dari barisan. Giliran kitorang pun boleh tahan belakangnya. Sekejap-sekejap mata kami meliar ke screen paparan atas kaunter. Risau tiket kehabisan. 

Giliran makin menghampiri dan bila sampai je depan kaunter tu -- terus makcik-makcik penjaga kaunter sangkut papan tanda “Ticket sold out”!??????


Tersentak sekejap. Sipi sangat dengan giliran kitorang. Kategori yang paling hadapan terlepas untuk beli tiket. *kesat air mata*. Cuba menagih simpati tapi sebab diorang tak reti English sangat, boleh dia buat-buat tak layan sobs.

Mujur yang lain belum bergerak dari hotel untuk ke al-Hambra lagi. Terus cari teksi untuk balik ke hotel. Sambil-sambil dalam perjalanan tu sempat lagi bincang apa ayat terbaik untuk sampaikan berita ni pada semua. Sungguh, takdir Allah itu yang terbaik.

Perancangan pagi 29 Disember ditukar terus ke destinasi seterusnya, Malaga. Malaga yang sangat indah dengan pantai-pantai yang bersih airnya. Mungkin penyejuk hati yang Allah hadiahkan setelah kecewa dengan tiket al-Hambra tadi.


Tapi perjuangan untuk dapatkan tiket tadi tidaklah terhenti sampai di situ.

******
Malaga > Granada, 31th Disember.

Perancangan baru dimulakan. Malam esoknya, dari Malaga seramai empat orang akan patah balik ke Granada dan check-in hotel buat semalaman. Ahli jaulah yang lain siap buatkan bekal makanan untuk kami berempat. Persediaan mental, baju sejuk, sarung tangan, stoking tebal kali ni semuanya disokong penuh oleh ahli jaulah.

Belajar daripada pengalaman sebelum ni, seawal 4 pagi kitorang dah call teksi dan keluar dari hotel untuk ke al-Hambra. 

“Ni lah peluang terakhir kita, alang-alang dah ada dekat sini kita kena make it to the most!”


0420hrs, Berjaya berada di barisan paling hadapan walaupun masih bukan yang pertama.

Sejuknya bertahan dalam 2 degree celcius selama 4 jam memang tak dapat digambarkan. Dari awal lagi dah sediakan mind set yang penantian pasti lebih teruji. 

"Jan, saya rasa mungkin Allah nak menjadikan al-Hambra sebagai perhentian terakhir kita. Kan dekat sinilah bermulanya kejatuhan kerajaan Islam di Spain."

Tersenyum mendengar teori dia. Jika benar, indah sungguh kronologi perjalanan yang disusun Allah.  Kesejukan di jari-jari kaki mula terasa. Sementara menunggu kaunter dibuka, kami bergilir-gilir untuk berjalan sekitar kawasan situ dengan harapan dapat memanaskan badan sedikit.

Orang yang beratur di hadapan selesa benar membalut diri dengan selimut tebalnya. Sejuknya al-Hambra ni buatkan kami tak terkejut pun bila ada yang menaikkan khemah sementara beratur menunggu di situ.

Reflect juga, kalaulah tidak ditarbiyyah adakah kami akan terus bersabar dan sanggup untuk datang kali kedua teruskan benda ni. Kalau memang ditakdirkan untuk kami lakukan tapi dalam keadaan tidak mengenal tarbiyah, adakah akan berbuat dengan ikhlas atau keterpaksaan?

Tak tahu bagaimana tarbiyah itu membentuk seorang manusia agar menjadi selfless. Jika bukan saya, akhawatifillah yang bersama-sama di jalan ini juga sudah berusaha untuk membantu sepenuh daya. Baik dari segi kebajikan, keselamatan, dan sokongan mental.

Mungkin ini antara alasan mengapa kami masih memilih untuk ditarbiyah dan mentarbiyah. 


Bila kawan pulang dari solat subuh, jelas raut muka yang sangat kepenatan. Rasa nak give up pun ya jugak.

"Jan, sejuk sangat ni. Nak menangis ambik wuduk sejuk-sejuk. Lepas solat tadi saya menangis cakap dekat Allah yang saya tak tahan dah dengan sejuk ni. Saya doa sangat untuk Allah berikan kita perasaan sedih bila melihat al-Hambra sebab ni lah lambang kejatuhan Islam, bukan lambang kemegahan. 
Tapi... tak sangka Allah beri perasaan tu terlalu awal..."

Bila melihat keadaan semua orang menahan sejuk pagi ni, terdetik pula perasaan;


Kalaulah Islam yang masih memegang Spain seperti dulu mungkin kita tak perlu pun beratur seteruk ni semata-mata nak membeli tiket masuk ke sana. Sabar dan berdoalah akhawat semoga bumi Spain ini dibebaskan kembali.

Alhamdulillah, akhirnya berjaya jugak dapatkan tiket masuk ke al-Hambra untuk semua jaulahmates. Bukanlah tiket masuk yang kami mahukan sangat, tapi tarbiyah yang Allah hadiahkan sepanjang proses mendapatkan tiket ni. 


"Tiket ini dibeli dengan harga kesabaran dan sebuah tarbiyah yang tidak sama nilainya dengan tiket-tiket tourist yang lain."


*******
p/s: I edit this post a bit sebab dalam travelogue tu ayat skema sikit. Yang kelakarnya tak sampai 10 minit, I'd lost my ticket -_- drama dalam tu tak perlu cakaplah. Boleh jadi Harga Sekeping Tiket 2.0

Part tu memang menangis teruk sambil mencari-cari tiket yang hilang 😂 malunya bila ingat balik. Orang yang lalu-lalang kat situ mesti ingat dia ni baru mati somi sobss mujur takkan jumpa orang-orang tu dah haha.

Walaupun tak tau format travelog ni macam mana tapi still nak hantar jugak.

Supaya kisah ini akan terus diceritakan untuk ramai tahu how powerful tarbiyah can be. Yang boleh membentuk manusia menjadi someone yang sanggup berkorban tanpa mengharapkan sebarang kepentingan.

Moga kita terus memilih untuk ditarbiyah dan mentarbiyah (:


Monday, October 07, 2019

As always,

051019,

“Akak, tadi masa ambik whudu’ tiba-tiba teringat usrah dengan akak.” -X
“Kenapa masa dalam tandas jugak awak nak teringat -_-"

Ada ke patut gais dalam banyak-banyak tempat, tandas jugak dia nak mengimbas kenangan -_- tak sedap hati betul. Lainlah kalau dia tengah lepak-lepak kat taman bunga ke apa haha

"Eh! ke sebab ternampak berus gigi?”

Yang sorang lagi duk pandang kita gelak-gelak. Sebab dia dah tahu dulu bila overnight rumah diorang saja tinggalkan berus gigi supaya ada reason nak datang visit lagi. Tinggalkan tuala muka lah apa lah lol such good times. Sekarang dah besar dah adik-adik ni :’)

“Bukanlahhh bila tau ni last usrah sama-sama teringat moment-moment usrah kita. 
Dah start nak nanges tapi bila tau nanti akak bawak usrah dekat (insert her place’s name), tak jadi sedih dah. Boleh jumpa lagi.”

LOL

Baru nak terharu sebab tadi masa cakap last usrah semua macam rilek je.

Guwa nak nangis pun tahan je lah sbb macho kena jaga.

Ada yang happy lagi sebab naqibah baru ada baby. Itulah, kalau ada baby ni memang bonus point lah untuk attract adik-adik pergi usrah haha


Eh hello, ingat kalau kita dah tak satu usrah kita dah takkan jumpa dekat daurah ke. 

If akak tak nampak nama korang dalam list kehadiran daurah, kita still akan kejar sorang-sorang eh xP

Because once a murabbi, always a murabbi (;

The AT(s)

Sincerely me,
yang akan sentiasa menghantui kehidupan antunna 👻

Saturday, September 14, 2019

Tujuan

"Kita akan jumpa lagi ke nanti akak?"

Terhenti jap dari suapan yang ntah buat kali keberapa masa makan talam bersama.

Tak sangka minggu tu akan sampai di satu negeri yang tak pernah sekali pun dijejaki.

"Sorry awak, sebenarnya ada kakak ni yang kena bagi sharing tu tapi on call pulak tetibe." - Kakak F
"Hehe kita ok je. Lagipun pernah request kat kakak X untuk bantu saya asah skill ni."

Antara dialog perbualan terakhir sebelum masing-masing letakkan telefon. Pelikkan jalan DnT ni. Tinggi betul kepercayaan yang mereka berikan sedangkan tak pernah berjumpa walau sekali.

******

"Jumpa macam mana tu?"

Tanya aku sambil gelak sebab tak jangka soalan begini dari adik tu. Dah lah first time berjumpa, alahai.

"Dekat program-program lain ke." 
"Setakat yang akak perasan, selagi kita dalam jalan ni inshaaAllah kita akan berjumpa je walau tak tahu bila (:"

140919

Soalan dia buat aku teringatkan satu perkara. Suatu masa dulu tak pernah terfikir pun akan ada peluang kembali bertemu murabbi di KMB dulu, berkumpul kembali dengan kakak-kakak yang menarik masuk dalam jalan DnT, berjumpa dengan muwajih-muwajih zaman awal tarbiyah yang comel-comel dulu haha dan sekarang pula berada dalam waqi' sama dengan first muwajih yang pernah mengubah paradigm diri ni. Tak sangka sungguh.

Tak kiralah tujuan manusia itu apa. Tapi kalau mereka punya tujuan dan agenda yang sama, Allah akan pertemukan mereka dalam perjalanan menuju ke arah itu. Jadi tak peliklah bila kita mahu mencari kebaikan, kita akan berjumpa dengan orang yang sama-sama mahu mencari kebaikan. 

Daurah lepas, ada sorang akhawat Beijing share kata-kata dari cendekiawan Cina -- "Tujuan yang sama akan menemukan orang-orang dalam perjalanan."

Indeed (:

******

"Diorang dua ni dah tinggalkan KMB 3 tahun" -- murabbi lama yang makan setalam cerita pada adik tu.

Kemudian disambung lagi,

"so, 3 tahun dari sekarang awak kena jadi penyampai jugaklah."

Murabbi kitorang ni memang suka psycho macam ni -_- mesti adik tu macam 'aduh tersalah pilih talam' hahaha

"Akak dulu tak macam awak, masa 1st program kita diam je tak banyak cakap. Awak mesti lagi hebat so should be less than that lah :P"

Saja tambah pressure lol

and ofc i wish to meet u again someday, lillah ^^



Tuesday, July 23, 2019

Cita kita tetap satu jua

Menjadi akhawat tidak melepaskan kita dari sisi-sisi manusiawi seorang manusia.

Pernah melihat akhawat bergaduh kerana berbeza pendapat.
Tidak bercakap berhari-hari, mengelak dari berjumpa.
Tapi kerana matlamat yang sama, gaduh mereka tidak lama.

Akhawat ni juga seorang manusia.
Mahu ada masa sendiri, pergi ke kedai-kedai kopi,
Kadang keinginan itu dipenuhi, tapi ada masa ditolak tepi.
Katanya duit ini perlu dilebihkan untuk DnT.

Juga pernah melihat akhawat yang menangis.
Malah mungkin lebih sering dari yang kita pernah bayangkan.
Yang menangis kerana ujian kehidupan,
juga menangis bila gagal memenangi hati insan.

Tapi ntahlah, ada mungkin tangisan itu lebih menguatkan.
Atau mungkin sedar matlamat lebih besar perlu digerakkan.
Kerana tak lama, mereka terus melaju ke hadapan.

Dan mereka--


sejak pertama kali bertemu sentiasa membuktikan kebesaran jiwa mereka,
sentiasa berlumba atas jalan kebaikan, sentiasa bersegera mahu berkorban.

Aduh, tentu-tentu akan merindui jiwa-jiwa yang penuh hamasah ini.
Moga kita bertemu lagi, dan saling menjadi saksi --
atas kisah-kisah yang dilalui sepanjang berada di jalan ini.

Sungguh, manusia itu adalah semahal nilai matlamatnya.
Moga kita dipertemukan dengan cita dan matlamat yang masih tetap sama.

2:30
51:56



Friday, June 21, 2019

A trip to re-gain the lost Hamasah

Right at this moment, I can feel I'm losing my Hamasah bit by bit. Also literally, I'm gonna lost majority of my 'akhawat Hamasah' this upcoming term.

In short, I'm losing my Hamasah internally and also externally.


Fortunately, had a Jaulah to Turkiye before most of them BFG. What'd made the jaulah more exciting was went there with my 'akhawat Hamasah' :')

A moment to treasure, I guess.

I hardly pray to Allah to let me re-gain my Hamasah and build up my Himmah so that I can get through this rough journey calmly.


"Bila cinta itu hilang, yang meneraju kita adalah niat dan visi." - Salim A. Fillah

Biiznillah.

Sunday, May 05, 2019

The Opposite But It Completes

"Dalam dekapan ukhuwah,
kita merasakan kehangatan sahabat.

Dia tahu kelemahan kita,

tetapi menunjukkan kekuatan kita.

Dia merasakan ketakutan kita,

tetapi membangkitkan keyakinan kita.

Dia melihat kekhuatiran kita,

tetapi membebaskan jiwa kita.

Dia mengenal ketidakmampuan kita,

tetapi memberi kita kesempatan."

-DDU-

How this quote from DDU will always remind me of you, one of my Harun(s) in DnT :')



The one that --
always know my limit,
always try to serve my love language,
always help in saying 'no' when I can't even say so,
always encourage me in the things that I love to.

Always be the one that knows all of my 'why(s)',
and always behind me for every decision made in DnT.

Usrahmate for almost 5 years but the taaruf process is still ongoing, and always be :p 

Personaliti yang sangatlah berbeza and opposite, terkejut betul awal-awal dulu satu rumah dengan dia ni hahaha antaranya dia sejenis suka bagi hadiah depan-depan pastu paksa orang bukak waktu tu jugak. Budak KMB pun tau macam mana cara aku bagi hadiah -- selalu bagi sorok-sorok pastu lari. Hah imagine lah cemana aku nak face orang sejenis straight macam ni err.

"Jan, love language awak ni selalunya kena buat apa eh? Saya takutlah dengan orang love language X ni" - her, forever.

"Eyyy samalah! Ingat saya tak takut ke dengan orang yang love language macam awak! -_-"

My top love language is her lowest, and her 1st love language is my last T_T Kitorang ni memang banyak perbezaan dalam apa jua perkara. Tapi kalau nak rebel tu boleh pulak sama-sama satu kepala hahaha.

Belum cerita lagi tahap extremely extrovert dia awal-awal dulu tu mmm mujur ada bertahun-tahun untuk selami personaliti sejenis macam ni. Lama-lama dia serap perangai kita sikit, kita serap perangai dia sikit -- so personaliti kitorang berdua dah reach equilibrium point dan sekarang tak ambik masa lama untuk faham each other :p Tengs sebab 'balance' kan personality saya.

Sanah helwah ya ukhti! Lagi 7 tahun awak dah masuk 30 xP Kerjalah dekat KL mana tau satu usrah lagi ke hihi

p/s: Macam mana banyaknya rahsia saya yang awak pegang, macam tu jugak rahsia awak dekat saya. So, jangan nak kuat membahan sangat eh





Monday, April 22, 2019

The Precious Gems

“Awak turun station ni ke?”

Dia anggukkan kepala.

Aku tengok jam hampir cecah 11 malam. Untuk musim winter cenggini 11 malam boleh tahan pekat gelapnya.

Train to Nottingham, February 2019

“Akak turun sini jugaklah, kita jalan sama-sama.”

“Aww, sweetnya haha.” -- lol bukan memang selalu sweet ke

Sepanjang perjalanan nak ke rumah masing-masing, kawasan parkir kereta pertama-tama sekali perlu dilalui. Sepi yang benar-benar sepi. Terasa bijak sebab ambil pilihan turun station tu teman dia jalan sekali haha

Diri sendiri pun selalu cuak kalau lalu car park sunyi macam ni. Sesiapa je boleh sembunyi di celah-celah kenderaan. Tapi hm yelah kalau nak buat jahat tu dekat mana-mana dan bila-bila masa pun boleh.

Tapi eloklah ambil langkah keselamatan dengan balik berteman.

Malam lagikan.

“Kenalah jaga akhawat, permata dakwah ni haha” – aku sambung lagi pada dia.



Ntahlah terasa ada keperluan untuk buka cerita lama sepanjang jalan berdua tu.

Antara kisah-kisah lama yang menyedarkan betapa berharganya akhawat ni dan betapa pentingnya untuk menjaga dan memastikan akhawat sentiasa selamat.

Terasa ada keperluan untuk diceritakan agar pengajarannya tidak terhenti hanya pada kami, supaya dia belajar dan fahami tanpa perlu dia lalui.

Memori ni kalau tidak dikisahkan atau dituliskan, sayanglah hanya sekadar menjadi memori.

*********


Masjd Jenjarom, Nov 2017

Macam biasa tiap malam bila daurah mesti kitorang akan berkumpul lepas adik-adik semua dah mula berehat atau masuk tidur. Bermulalah sesi muhasabah untuk satu hari yang panjang tu. Lepas dimuhasabahkan segala hal, terus masuk kepada agenda isu berbangkit.

“Sebenarnya tadi, ukht S accident. Terlanggar divider.”

Ok apa ni? Apa ni? Kenapa tak tau.

Diceritakan dari mula yang ukht S bawa kereta this one kakak untuk ke daurah. Tak sure sebab apa. Sebab beli barang atau angkat barang daurah kot. Tapi cerita dia, ukht tu pandu sorang-sorang tak ada yang teman. Pendek cerita berlaku micro sleep dan bangggg hah terlanggarlah divider.

Micro sleep ni memang bahaya waima kita dalam kelas sekalipun. Terjaga dari micro sleep tahu-tahu lecturer dah masuk next chapter. err, seram.

Ok, dekat mana kita tadi?

Hah pendekkan lagi cerita kitorang pakat-pakat untuk bayar ganti rugi kerosakan sama-sama. Tapi kakak tu taknak terima. Cuma yelah kena marah (tegur) sikit,

“Kenapa boleh biarkan akhawat tu pandu sorang? Kalau jadi apa-apa dekat dia macam mana?”

Yelah kalau ada peneman boleh juga tengok-tengokkan pemandu bila dah mula mengantuk tu. Tapi, betapa kakak tu concern dengan keselamatan akhawat sampaikan sikit pun dia tak sebut pasal kereta yang remuk di bahagian hadapan tu.

Walau tak ada nyawa yang terkorban atau sebarang kecederaan, tapi peristiwa dan teguran tu sampai sekarang memberi kesan (kalau tak terkesan, tak muncullah post ni kan lels). Pengajaran yang sangat besar dan menyedarkan -- satu kerugianlah buat gerabak DnT jika kehilangan walau hanya seorang ukhti.

Start dari situ dah start bina mindset yang keselamatan akhawat ni perlu dijaga. Permata dakwah ni.

Dunkirk, 2am

Tapi, bila dah duduk UK 3 tahun ni makin immune dengan 'bahaya' tu -- Macam "selamat kot jalan gelap-gelap ni", sampai tak fikir langkah berjaga-jaga. Padahal UK ni bukanlah setiap masa selamat pun.

Dekat Notts sendiri banyak kali je dengar cerita ada orang follow dari belakang. Lagi-lagi masa winter bila malam lagi panjang. Pukul 5pm pun pernah ada kes.

Dan ada juga kisah akhawat diikuti dari belakang. Bukan keseorangan, tapi jalan bertiga. Mujur antara mereka ada yang mula perasan dan tak sedap hati. Terus laju-laju mereka berjalan dan ketuk pintu rumah lain sebagai pit stop.

'Lembaga' tu pun jalan laju-laju dan sorok di semak tepi rumah tu lol. Skeri pulak kalau orang dah main sorok-sorok dekat semak ni untuk tunggu je kita keluar dari rumah tu.

Waktu tu mintak tolong ikhwah semua phone tak berjawab hmmmmhmm ingat suka hati je ke akhawat nak telefon suka-suka -______- kalau kena ikut dengan orang mabuk pun masih tahap call akhawat je lagi. So, tak adalah sepanjang masa bergantung dengan ikhwah tapi bila dah SOS ikhwah maksudnya emergency habis dah tu -_______-

Mujur ada this one guy angkat phone dan tolong jemput dekat rumah tu then hantarkan ke rumah diorang dengan selamatnya. Sampai sekarang husnuzhon je lah dengan ikhwah ni yang diorang silent phone.

Geramlah jugak masa tu. Kalau 1 permata dakwah pun sangat berharga, bayangkanlah kalau jadi apa-apa pada 3 akhawat? :///



Akhawat pun kadang problem jugak sebab selalu travel hanya dengan bekalan tawakal yang tinggi sampai makin kurang common sense untuk berhati-hati ^^" Bagus je lah bekalan tawakal tu tapi kalau sampai tak ambil langkah berjaga-jaga tu bahaya sebenarnya.

Cakap macam ni pun sebab pengalaman sebelum ni huu murabbi lama selalu tegur sampai pernah keluarkan statement nak mutabaahkan tak boleh travel sorang (fuh, lap peluh jap bila baca statement tu T_T).

Tadi, sebelum balik dari program dan bakal menempuh satu perjalanan yang panjanggggg (gila) pun sempat kakak kabir pesan, -- "make sure battery phone penuh"

Sebab yang pesan tu adalah murabbi lama, terasa dituju khas pulak dengan pesanan ni hahaha

9hrs journey from Carnforth > Lancaster > Manchester > Leeds > Notts memang tak kelakar bila kena lalui banyak sangat transit.  Menyesal jugak sebab nak berjimat punya pasal kena tempuh perjalanan lama cemni. Mujur musim bunga ni 9pm masih cerah so tak cuak sangat balik sorang-sorang haha

9pm, Alhamdulillah arriving Notts safe and sound (:

Sebab bosan travel sorang jugaklah sempat menaip entri ni atas bas xp