*play*
Ada satu perasaan yang susah benar untuk aku lupakan. Tidaklah bermaksud untuk dilupakan terus. Tapi aku berharap jika rasa ini hadir, ia tidak menimbulkan sebak di hati lagi. Kerana benar, perasaan ini benar-benar mengusik jiwa dan emosi. Bukan sekali dua, malah kerap benar menjengah dan tiap kali itu pasti disekanya air di pipi.
Itulah perasaan seorang mutarabbi yang terlalu merindui murabbi pertamanya.
Selepas ibu dan abah, dialah insan seterusnya yang jika namanya disebut dalam doa membasahkan mata. Mulalah terimbas kembali perkara-perkara yang dia lakukan untuk menarik aku agar lebih dekat dengan Tuhan. Mengajarkan aku al-Quran bukanlah hiasan. Menunjukkan qudwah menjadi seorang insan. Pengorbanan demi pengorbanan yang dia lakukan hanyalah semata kerana Tuhan.
Bila yang lain tidak memandang engkau sebagai orang yang punya harapan, dia terus membina tanpa rasa kesal. Walau dia sendiri tidak tahu hasilnya aku ini nanti menjadi apa. Ntah berbaloi atau tidak atas masa-masa yang dia korbankan. Tapi itulah dia seorang manusia yang sangat bertawakal kepada Tuhan.
Akhawat, ketahuilah dan bersyukurlah dengan nikmat masih dapat berhubung dengan murabbi pertama anda. Dalam diam aku cemburu. Tapi menangis di dalam hati sahaja aku mampu.
Dan setiap kali berdoa,
يَا مُقَلِّبَ الْقُلُوبِ ثَبِّتْ قَلْبِى عَلَى دِينِكَ
Moga aku terus diberi ketetapan hati agar jika tiba satu hari dia kembali, aku lah orang yang menyambutnya dengan bahagia sekali untuk bersama-sama perjuangkan jalan ini.
Jika ada yang terlihat aku menangis tiba-tiba, maka ketahuilah
itulah saat ketika aku terlalu merindukan murabbi pertamaku.
Doakan satu hari dia kembali.
No comments:
Post a Comment